
Detik yang Akhirnya Menemui Penghujung
Ada saat dalam hidup yang nilainya hanya benar mekar setelah ia berlalu. Kita pernah berdiri di dalamnya, tersenyum dan meminjam keindahan “pohon berbunga Sakura” itu tanpa menyedari bahawa setiap saat adalah langkah menuju sebuah garis penamat.
Dulu aku melihat detik itu sebagai sesuatu yang ingin aku putar semula. Namun hari ini aku sedar bahawa setiap cerita yang indah memerlukan sebuah titik akhir untuk menjadikannya sebuah naskhah yang lengkap buat menjadi rujukan akan datang.
Saksi yang Menyelesaikan Tugasnya
Pokok itu berdiri megah di sudut sekolah menghamparkan warna merah jambu seolah-olah dunia sedang meraikan kehadiranku di situ. Ia bukan sekadar pokok ia adalah saksi bisu kepada segala peluh, doa, dan amanah yang aku pikul ketika itu.
Apabila aku melihat semula foto itu, aku tidak lagi melihat seorang lelaki yang terperangkap dalam kenangan. Aku melihat seorang hamba Allah yang telah menyelesaikan satu fasa perjuangan.
“Kedua-dua tanganku terangkat, wajahku mendongak dan kelopak bunga gugur seperti hujan rahmat. Gambar itu bukan lagi sekadar bukti kebahagiaan tetapi kisah bahawa aku telah menjalankan tugasku dengan baik di sana.”
Mengapa Ia Tidak Lagi Berbunga?
Setelah aku pergi pokok itu tidak lagi berbunga lebat seperti waktu aku masih ada disana. Dulu aku menganggapnya sebagai tanda duka. Namun fikiran ku memberikan rasa bahawa pokok itu rindu.
Tetapi hari ini aku memilih sudut pandang yang berbeza.
Mungkin pokok itu tidak lagi berbunga kerana tugasnya untuk menghiburkan hatiku di situ telah selesai. Ia mekar dengan lebat ketika aku memerlukan kekuatan dan ia berhenti mekar apabila aku sudah cukup kuat untuk berjalan di tempat baru. Itulah noktahnya. Alam tidak berduka ia cuma sedang menutup satu bab yang sudah sempurna.
Bahasa Hati yang Menemui Damai
Akal seringkali terperangkap dalam hukum alam namun hati yang ‘hadir’ akan nampak bahawa setiap zarah diatur dengan Maha Seni yang paling halus.
Allah mengambil untuk mengajar kita menghargai. Allah mengubah untuk mengajar kita bersandar. Allah noktahkan sesuatu untuk membisikkan bahawa sebuah cerita baru bakal bermula.
Aku tidak lagi meratapi gugurnya bebungaan pada semilir angin. Kerana bagiku pernah memilikinya saat ia mekar adalah sebuah kurniaan yang cukup untuk aku mensyukuri selamanya.
Redha Noktah yang Paling Indah
Redha bukan bermaksud aku tidak lagi ingat. Redha adalah apabila aku melihat ke belakang dengan senyuman tanpa ada lagi rasa sesak yang menuntut takdir untuk berubah.
Erti ‘Bernoktah’ dalam hidupku
Aku berhenti membandingkan tempat baru dengan tempat lama.
Aku berhenti mencari “Sakura” yang sama di dahan yang berbeza.
Aku memulangkan segala “pinjaman” itu kepada Pemiliknya dengan hati yang lapang.
“Kadangkala Tuhan membiarkan bunga itu tidak lagi mekar supaya aku tidak terus-menerus menoleh ke belakang, agar aku fokus pada bumi yang sedang aku pijak sekarang.”
Mekar di Tempat yang Baru
Aku mengerti bunga itu tidak hilang. Ia cuma telah bertukar rupa. Ia tidak lagi berbentuk kelopak merah jambu yang rapuh di dahan tetapi ia telah menjadi kekuatan, kematangan, dan hikmah yang berakar umbi dalam jiwaku.
Buat pohon sakura di sudut sekolah. Terima kasih kerana pernah menjadi teduhan. Perpisahan kita kini telah bernoktah. Tidak ada lagi rindu yang menyakitkan, yang ada hanyalah doa yang menenangkan.
Perjalanan di situ sudah tamat dengan sebuah pengakhiran yang cantik. Sekarang, masanya untuk kita tanam benih baru di laman yang berbeza, kerana Allah yang memberi “Sakura” di sana adalah Alah yang sama yang akan memberikan keajaiban di sini.
Satu perpisahan yang bernoktah agar sebuah kehidupan baru boleh bermula dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.
Ts.Jebat
Aku, Sakura & Sebuat Perpisahan Bernoktah
No responses yet