Saya kini bergelar 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗖𝗲𝗿𝘁𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗜𝗻𝗻𝗼𝘃𝗮𝘁𝗼𝗿

Akhirnya, Saya bergelar Google Certified Innovator

Enam minggu bersama Google Innovator Academy saya melangkah masuk ke dengan satu perasaan yang bercampur-baur. Ada rasa teruja, ada rasa takut, ada rasa tidak percaya, dan ada juga suara kecil dalam hati yang bertanya, “Mampukah aku sampai ke penghujung perjalanan ini?”

Hari ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya akhirnya boleh menyebut satu gelaran yang sebelum ini hanya saya lihat dari jauh:

Saya kini bergelar 𝗚𝗼𝗼𝗴𝗹𝗲 𝗖𝗲𝗿𝘁𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗜𝗻𝗻𝗼𝘃𝗮𝘁𝗼𝗿.

Bunyinya mungkin ringkas. Tetapi di sebalik gelaran itu ada perjalanan yang tidak mudah. Ada malam yang panjang. Ada tugasan yang mencabar. Ada pembentangan, perbincangan, idea, semakan, penambahbaikan, dan keberanian untuk terus belajar dalam suasana antarabangsa yang sangat luar biasa.

Kalau senang mahu masuk, mungkin rasa ini tidak akan sekuat ini. Tetapi hakikatnya, perjalanan ini memang bukan mudah. Peserta datang daripada 83 buah negara. Sudah pasti Bahasa Inggeris adalah komunikasi utama apabila kita telah mula berada didalam 𝘤𝘪𝘳𝘤𝘭𝘦 ini. Setiap idea perlu diperjelaskan dengan yakin. Setiap inovasi perlu mempunyai tujuan yang jelas. Setiap cabaran perlu dilihat sebagai peluang untuk mencipta perubahan.

Dan yang paling besar, perjalanan ini bukan berakhir selepas enam minggu. Sebenarnya, ia baru bermula. Selepas ini saya mempunyai tempoh setahun untuk menyediakan dan membangunkan inovasi yang bakal dibentangkan bersama pihak Google pada tahun 2027. Satu amanah yang besar. Satu tanggungjawab yang bukan sekadar membawa nama sendiri tetapi juga membawa harapan komuniti pendidikan, pendigitalan, dan Artificial Intelligence yang sedang berkembang dalam dunia hari ini.

Saya tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap ini.

Dahulu semasa saya hadir ke Google Champions Symposium Singapore saya hanya melihat aura komuniti Google Innovator daripada jauh. Saya melihat bagaimana mereka berkongsi, membimbing, memberi inspirasi dan membuka jalan kepada lebih ramai pendidik untuk berani mencuba sesuatu yang baharu. Dalam diam, saya menyimpan impian kecil. Bukan untuk mengejar gelaran semata-mata tetapi untuk menjadi sebahagian daripada gerakan perubahan pendidikan yang lebih besar.

Hari ini impian kecil itu menjadi kenyataan. Alhamdulillah.

Namun saya tahu tiada satu pun kejayaan ini berlaku kerana saya seorang. Setiap langkah saya berdiri atas doa, sokongan, bimbingan, dan kepercayaan ramai insan yang hadir dalam perjalanan ini.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada mentor saya, Ailisa Azmi yang telah membimbing, menyokong dan memberi kekuatan sepanjang perjalanan ini. Kadang-kadang dalam proses membina inovasi, kita bukan sahaja perlukan ilmu, tetapi juga seseorang yang percaya bahawa kita mampu pergi lebih jauh daripada apa yang kita sangka. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan penting ini.

Terima kasih kepada ibu dan ayah saya yang doanya tidak pernah putus. Mungkin mereka tidak melihat setiap tugasan yang saya siapkan, mungkin mereka tidak mendengar setiap sesi akademi yang saya lalui tetapi saya percaya doa mereka sentiasa mendahului setiap langkah saya. Dalam apa jua pencapaian restu ibu dan ayah tetap menjadi kekuatan paling besar.

Terima kasih kepada keluarga saya yang sentiasa mendoakan dan memahami. Kejayaan ini bukan milik saya seorang. Ia juga milik mereka yang bersabar, menyokong, dan memberi ruang untuk saya terus mengejar sesuatu yang saya percaya mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan GEG yang sentiasa bersama dalam perjalanan pendidikan digital ini. Komuniti ini bukan sekadar tempat berkongsi ilmu, tetapi tempat kita membina semangat, mengangkat satu sama lain, dan saling mengingatkan bahawa perubahan pendidikan tidak boleh digerakkan seorang diri.

Untuk 𝘎𝘌𝘎 𝘚𝘢𝘣𝘢𝘩, 𝘎𝘌𝘎 𝘒𝘰𝘵𝘢 𝘒𝘪𝘯𝘢𝘣𝘢𝘭𝘶, 𝘎𝘌𝘎 𝘗𝘦𝘯𝘢𝘮𝘱𝘢𝘯𝘨, 𝘎𝘌𝘎 𝘛𝘢𝘸𝘢𝘶, 𝘎𝘌𝘎 𝘒𝘪𝘯𝘢𝘣𝘢𝘵𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯, 𝘎𝘌𝘎 𝘉𝘦𝘭𝘶𝘳𝘢𝘯, 𝘎𝘌𝘎 𝘙𝘢𝘯𝘢𝘶, 𝘎𝘌𝘎 𝘒𝘦𝘯𝘪𝘯𝘨𝘢𝘶, 𝘎𝘌𝘎 𝘗𝘢𝘺𝘢 𝘙𝘶𝘮𝘱𝘶𝘵, 𝘎𝘌𝘎 𝘉𝘢𝘭𝘪𝘬 𝘗𝘢𝘱𝘢𝘯, 𝘎𝘌𝘎 𝘚𝘪𝘥𝘰𝘢𝘳𝘫𝘰, 𝘎𝘌𝘎 𝘉𝘦𝘢𝘶𝘧𝘰𝘳𝘵, 𝘎𝘌𝘎 𝘛𝘶𝘢𝘳𝘢𝘯, 𝘎𝘌𝘎 𝘓𝘢𝘩𝘢𝘥 𝘋𝘢𝘵𝘶, 𝘎𝘌𝘎 𝘛𝘢𝘮𝘣𝘶𝘯, 𝘎𝘌𝘎 𝘔𝘦𝘳𝘶, 𝘎𝘌𝘎 𝘗𝘢𝘴𝘪𝘳 𝘎𝘶𝘥𝘢𝘯𝘨, 𝘎𝘌𝘎 𝘒𝘦𝘭𝘢𝘯𝘵𝘢𝘯, 𝘎𝘌𝘎 𝘚𝘗𝘚, 𝘥𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘮𝘶𝘢 𝘎𝘌𝘎 di mana sahaja kalian berada, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada ekosistem yang membesarkan semangat saya.

Kita mungkin berada di daerah, negeri, dan negara yang berbeza. Tetapi kita disatukan oleh satu tujuan yang sama: untuk menjadikan pendidikan lebih bermakna, lebih inklusif, lebih kreatif dan lebih relevan dengan zaman.

Perjalanan ini mengajar saya bahawa pendigitalan bukan sekadar menggunakan teknologi. Artificial Intelligence bukan sekadar trend atau istilah moden yang kita sebut dalam ucapan. Kedua-duanya adalah ruang besar untuk kita membina masa depan pendidikan yang lebih manusiawi, lebih bijaksana, dan lebih dekat dengan keperluan murid serta guru.

Teknologi tidak akan bermakna jika ia tidak menyentuh kehidupan. Inovasi tidak akan bernilai jika ia tidak menyelesaikan masalah sebenar. Gelaran tidak akan membawa erti jika ia tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan, perkongsian, dan manfaat kepada komuniti.

Sebab itu, saya melihat gelaran Google Certified Innovator ini bukan sebagai puncak, tetapi sebagai permulaan baharu.

Permulaan untuk terus belajar.
Permulaan untuk terus berkongsi.
Permulaan untuk terus membimbing.
Permulaan untuk terus mencipta penyelesaian.

Permulaan untuk membawa suara kecil dari komuniti kita ke pentas yang lebih besar. Saya sedar, perjalanan selepas ini mungkin lebih mencabar. Setahun untuk menyediakan inovasi bukan tempoh yang singkat, tetapi juga bukan tempoh yang terlalu panjang. Ia memerlukan disiplin, keberanian, ketekunan, dan kesediaan untuk menerima teguran serta penambahbaikan.

Namun saya percaya, apabila niat kita jelas, jalan akan dibuka. Apabila tujuan kita untuk memberi manfaat, Allah akan hadirkan orang-orang baik di sepanjang perjalanan. Saya tidak mahu perjalanan ini hanya menjadi kisah tentang saya. Saya mahu ia menjadi tanda bahawa pendidik dari mana-mana tempat, termasuk dari Negeri Sabah juga mampu berdiri dalam ruang global. Kita mungkin bermula dari bilik darjah biasa, dari sekolah kecil, dari komuniti sederhana, tetapi impian kita tidak pernah perlu menjadi kecil.

Asalkan kita berani mencuba.
Asalkan kita mahu belajar.
Asalkan kita tidak berhenti percaya.

Hari ini, saya menulis bukan untuk berbangga tetapi untuk mengabadikan rasa syukur. Supaya suatu hari nanti, apabila saya kembali membaca coretan ini, saya akan ingat bahawa perjalanan ini pernah bermula dengan rasa tidak yakin, tetapi diteruskan dengan doa, usaha, dan sokongan ramai insan.

Terima kasih Google.
Terima kasih mentor.
Terima kasih ibu dan ayah.
Terima kasih keluarga.
Terima kasih rakan rakan GEG.
Terima kasih rakan rakan Cikgu,
Terima kasih Andy & Emma
Terima kasih keluarga VIA26 Google Innovator Academy
Terima kasih buat keluarga Google Innovator Sabah

Terima kasih semua yang sentiasa mendoakan, menyokong, menegur, membimbing, dan percaya. Saya hanyalah seorang pendidik yang masih belajar. Tetapi hari ini berpeluang belajar satu perkara yang sangat besar diatas pentas antarabangsa.

Kadang-kadang, sesuatu yang kita tidak pernah sangka mampu kita capai sebenarnya sedang menunggu kita di hadapan asalkan kita yakin diri kita dan berani melangkah.

*𝘑𝘶𝘮𝘱𝘢 𝘯𝘢𝘯𝘵𝘪 𝘵𝘢𝘩𝘶𝘯 2027 𝘎𝘰𝘰𝘨𝘭𝘦 𝘐𝘯𝘯𝘰𝘷𝘢𝘵𝘰𝘳 𝘝𝘐𝘈26 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘱𝘦𝘮𝘣𝘦𝘯𝘵𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘢𝘬𝘩𝘪𝘳 𝘪𝘯𝘰𝘷𝘢𝘴𝘪 𝘬𝘪𝘵𝘢

Ts. Jebat
Google Certified Innovator
Pendigitalan & Artificial Intelligence

Tags:

Comments are closed

Latest Comments

No comments to show.